RAZIP (tengah) masih yakin
bahawa Pahang mampu mengekalkan tempat mereka dalam saingan Liga Super musim
depan.
SKUAD Pahang berikrar untuk
beraksi seperti berada di pentas final pada perlawanan terakhir Liga Super pada
22 Oktober depan dalam misi untuk mengelakkan pasukan itu tersingkir ke saingan
Liga Premier musim hadapan.
Ketua jurulatihnya, Razip
Ismail berkata, keazaman itu terpahat selepas pasukannya mempamerkan semangat
juang yang tinggi ketika menumpaskan Pulau Pinang 1-0 malam kelmarin sehingga
membolehkan mereka mengutip tiga mata berharga di halaman sendiri.
“Kami mencatat kemenangan pada
malam ini (malam kelmarin) tetapi saya akui ia satu perlawanan yang sukar buat
Pahang. Tugas kami belum lagi selesai kerana Pahang belum selamat, kami ada
satu perlawanan lagi untuk diharungi serta wajib menang,” kata Razip kepada
pemberita selepas berakhirnya perlawanan menentang Pulau Pinang di Stadium
Darul Makmur, Kuantan malam kelmarin.
Razip berkata, antara
pendekatan perlu diambil dalam usaha memantapkan lagi skuad Tok Gajah itu
adalah dengan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan bersama pasukan yang
dirasakan sesuai.
“Dalam tempoh rehat selama
sebulan selepas ini, kami akan melakukan pelbagai persiapan, sudah pasti
beberapa perlawanan persahabatan akan diatur dalam tempoh rehat yang agak
panjang ini. Kami mahu supaya para pemain meneruskan momentum kemenangan dan
sentiasa konsisten ketika beraksi di atas padang,” katanya.
Razip berkata, secara
keseluruhan, dia berpuas hati dengan gaya persembahan pemain Pahang termasuk
aksi malam kelmarin walaupun situasi sedikit mencemaskan pada babak kedua
perlawanan tersebut.
“Pada separuh masa kedua,
pemain kami berasa tertekan dengan corak permainan pasukan Pulau Pinang yang
nampak semakin agresif. Namun, barisan pertahanan dan penjaga gol kami berjaya
mengekang serangan pihak lawan dengan baik sehingga ke wisel penamat,”
katanya.
Kemenangan pasukan Pahang pada
perlawanan tersebut membolehkan skuad Tok Gajah itu kini menghuni tangga ke-10
di hadapan Pulau Pinang dan Terengganu apabila berjaya mengutip 20 mata.
Skuad Tok Gajah bakal
berhadapan dengan T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala
Terengganu pada perlawanan terakhir liga 22 Oktober nanti.
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0926&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4LMEsCU4rHakcipta
terpelihara