Penyerang Pahang, Bernard Samuel
Tchoutang (kanan) cuba melepasi halangan pemain pertahanan NTFA, R. Kumar
sewaktu perlawanan suku akhir pertama bola sepak Piala FA di Stadium Darul
Makmur, Kuantan semalam. Pahang menang 6-0.
KUALA LUMPUR - Hanya Pahang dan
Perlis memahatkan kemenangan bergaya sebagai bekalan terbaik untuk ke separuh
akhir selepas menewaskan lawan masing-masing pada perlawanan suku akhir pertama
bola sepak Piala FA, semalam.
Pahang yang belum pernah
menjulang Piala FA setakat ini, paling cerah melangkah ke separuh akhir selepas
berpesta gol menewaskan NTFA 6-0 di Stadium Darul Makmur.
Begitu juga dengan Naib Juara
2003, Perlis menggunakan kelebihan di tempat sendiri untuk mudah menewaskan
Perak 2-0 di Stadium Utama Negeri, Kangar.
Bagaimanapun satu lagi tuan
rumah, Terengganu tidak berupaya memahatkan kemenangan apabila terikat 0-0
bertemu Negeri Sembilan Naza.
Saingan suku akhir kedua akan
berlangsung pada 19 April ini.
Di Stadium Utama Negeri, Kangar
dua gol menerusi penyerang import Philimon Chepita membantu Perlis menewaskan
naib juara musim lalu, Perak 2-0.
Perlis membuka tirai jaringan
pertama pada minit ke-17 menerusi sepakan kencang Chepita hasil hantaran ketua
pasukan Manzoor Azwira.
Perak yang tertekan cuba mencari
gol menerusi gandingan Abdoulaye Traore dan Keita Mandjou tetapi sukar
menembusi benteng Perlis.
Belum sempat Perak memperoleh gol
penyamaan, Perlis terus kukuh dengan tandukan gol kedua Chepita hasil hantaran
cantik Mohd. Ivan Yusof pada minit ke-63.
Di Stadium Darul Makmur Pahang,
tidak berdepan tugas getir apabila membelasah pasukan berstatus kelab, NTFA
6-0.
Kemenangan berpesta gol itu
mencerahkan laluan Pahang untuk ke separuh akhir.
Pahang yang belum pernah
menjulang Piala FA menggunakan kesempatan dengan aksi NTFA bermain dengan
sepuluh pemain apabila penyerangnya G. Jayaraman dilayangkan kad merah pada minit
ke-26.
Penyerang importnya, Bernard
Tchoutang mencipta jaringan hatrik pada minit ke-12, 19 dan 64.
Manakala dua gol lagi menerusi
jaringan Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-38 dan 61 serta satu gol lagi
melalui Josiah Seton pada minit ke-70.
Di Stadium Sultan Ismail
Nasiruddin Shah, Terengganu gagal menggunakan kesempatan bermain di tempat
sendiri apabila sekadar seri 0-0 dengan Negeri Sembilan Naza.