ARKIB : 02/05/2008
KUANTAN - Siasatan yang
dijalankan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) Pahang mendapati tiada kes membabitkan
pasukan bola sepak negeri itu dengan isu rasuah, lapor SITI MARIAM MD. ZAIN.
Pengarahnya, Sutinah Sutan
ketika dihubungi berkata, sehingga kini, pihaknya belum menjumpai sebarang
petanda menunjukkan pasukan Tok Gajah itu boleh disabitkan dengan sebarang kes.
''Hasil risikan yang dijalankan
termasuk berjumpa dengan beberapa individu yang kita rasa boleh membantu,
mendapati setakat ini tiada kes," katanya kepada Utusan Malaysia di sini
semalam.
Sementara itu, jurulatih
pasukan bola sepak Pahang, Zainal Abidin Hassan ketika dihubungi turut
mengesahkan bahawa skuad di bawah bimbingannya itu bersih dan tidak terlibat
dengan unsur-unsur rasuah.
''Berita itu (rasuah) hanya
khabar angin, setakat ini (pasukan bola sepak) Pahang bersih," katanya.
Kelmarin, bekas pemain bola
sepak Sarawak Liga Super, Ramos Sari yang direman bagi membantu siasatan
berhubung penglibatannya mengatur perlawanan bola sepak di negara ini,
dibebaskan dengan jaminan BPR.
Pengarah BPR Sarawak, Mohamad
Yusoff Akope berkata, pihaknya akan melengkapkan kertas siasatan berhubung kes
itu dan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwaraya (DPP) bagi tindakan
selanjutnya.
Sementara itu, di Ipoh, BPR
Perak tetap memberi perhatian kepada isu rasuah bola sepak negeri itu walaupun
ia kurang diperkatakan oleh para penyokong Kejor Yeop Kejor, lapor KAMARUDDIN
ISMAIL.
Presiden Kelab Peminat
Bolasepak Perak (KPBP), Abdul Jamil Othman memberitahu, dia telah dipanggil
oleh BPR Perak minggu lalu bagi membantu siasatan pihak berkuasa itu mengenai
kemungkinan ada timbulnya isu rasuah di kalangan pemain Perak.
''Seorang pegawai BPR bertanya
sama ada kami mengetahui atau mendengar mengenai desas-desus rasuah bola sepak
di kalangan pemain negeri ini dan saya menjelaskan bahwa setakat ini isu itu
tidak pernah dikatakan," tambahnya.
Sementara itu, Ketua Pasukan
Perak, Ahmad Shahrul Azhar berkata, beliau juga tidak mendengar sebarang khabar
angin bahawa rakan-rakannya terlibat dalam perkara tersebut.
''Saya percaya skuad Seladang
bersih daripada gejala berkenaan," kata Shahrul ketika ditemui di Ipoh.
Dia memberitahu, bahawa pemain
yang terlibat dalam rasuah bola sepak tidak mendapat sebarang keuntungan
sebaliknya hanya akan menjatuhkan maruah diri, keluarga dan negeri sahaja.
Sebelum ini, bekas pemain Perak
tahun 1960-an dan 1970-an, Baharin Khamis mencadangkan supaya pemain-pemain
yang terlibat dalam gejala rasuah supaya digantung seumur hidup.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0502&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4zRQCk8iU
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan