ARKIB : 10/04/2008
Oleh YUSRI SAHAT
KUANTAN - Kemenangan Pahang ke
atas Sabah 3-1 dalam suku akhir pertama Piala FA, kelmarin diibaratkan membalut
luka skuad Tok Gajah yang menunjukkan prestasi kurang meyakinkan dalam Liga
Super sepanjang musim ini.
Kemenangan itu memberi sedikit
pengharapan buat Pahang untuk menjulang sekurang-kurangnya satu kejuaraan pada
musim ini.
Meski pun masih awal untuk
membuat rumusan, peluang ke separuh akhir Piala FA dilihat cerah jika
persembahan malam kelmarin dijadikan sandaran apabila bertemu Sabah pada suku
akhir kedua di Likas pada 22 April ini.
Perkara itu diakui Jurulatih
Pahang, Zainal Abidin Hassan menerusi riak wajahnya yang terpampang kelegaan
selepas anak buahnya menunjukkan persembahan meyakinkan ketika membenam Sabah
kelmarin.
Zainal yang ditemui selepas
perlawanan bagaimanapun tidak dapat menyembunyikan rasa tidak puas hatinya
terhadap persembahan anak-anak buahnya terutama pada separuh masa pertama.
Persembahan kurang konsisten
menyebabkan Sabah berjaya mencuri satu gol menerusi Bobby Gonzales, ujarnya.
''Corak permainan kembali
teratur dan berdisiplin pada separuh masa kedua sehingga Pahang berjaya
membolos gawang lawan sebanyak tiga kali sehingga tiupan wisel terakhir.
''Pun begitu, kita terlepas
beberapa peluang keemasan yang membolehkan Pahang menambah jaringan,"
katanya.
Berbekal dua gol di tangan,
Zainal mengingatkan anak-anak buahnya bahawa kedudukan Pahang masih belum
selamat apabila bertandang ke tempat lawan selepas ini.
''Sabah pastinya akan
menggandakan usaha untuk memastikan hasrat Pahang ke separuh akhir
berkecai," tegasnya.
Kali terakhir Pahang menjulang
Piala FA ialah pada 2006 ketika menewaskan Perlis.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0410&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4yrpnTM1B
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan