ARKIB : 12/05/2011
AKsi penyerang Pahang, Azamuddin Mohd. Akil (kanan)
ketika menentang Negeri Sembilan dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul
Makmur, Kuantan pada 19 April lalu.
KUANTAN - Pahang tiada pilihan selain daripada
mencatat kemenangan besar apabila bertemu Terengganu pada perlawanan separuh
akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Makmur, di sini esok.
Hanya bekalan gol selesa akan memberi kelebihan
kepada skuad Tok Gajah untuk mara ke final apabila mengharungi perlawanan kedua
di padang lawan pada 16 Mei ini.
Timbalan Presiden 1 Persatuan Bola Sepak Negeri
Pahang (PBNP), Datuk Dr. Omar Othman berkata, pemain tidak seharusnya
mempersia-siakan peluang bermain di halaman sendiri dengan menghasilkan
sebanyak mungkin gol.
"Dalam perlawanan di tempat sendiri, kita
harus menang besar, hanya itu pilihan yang kita ada," katanya kepada
pemberita di sini semalam.
Untuk pertembungan esok, Omar memberitahu, tiket
perlawanan akan dijual mulai pukul 4 petang hari ini.
Menurut beliau, para penyokong boleh mendapatkan
tiket tempat duduk berbumbung pada harga RM25 bagi dewasa dan RM12 untuk
kanak-kanak di kaunter penjualan tiket stadium.
Harga tiket tempat duduk terbuka bagi dewasa pula
ialah RM12 manakala RM6 untuk kanak-kanak.
"Pada hari perlawanan, penyokong Terengganu
boleh mendapatkan tiket di Kaunter 8A dan 8B manakala penyokong Pahang di
kaunter 10A dan 10B bermula pukul 10 pagi.
"Penyokong kedua-dua pasukan akan diasingkan
tempat duduk dan ia bermula daripada pintu masuk iaitu Pintu 7 bagi penyokong
Terengganu dan Pintu 11 bagi penyokong Pahang," ujarnya.
Omar menambah, para penyokong kedua-dua pasukan
akan diasing bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
"Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras Perlawanan
hari ini memutuskan untuk mengambil langkah keselamatan dengan mengasingkan
penyokong bagi mengelak kemungkinan tidak diingini.
"Seramai 85 anggota polis dan 30 anggota
Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) akan mengawal keselamatan pada hari
perlawanan untuk memastikan ia berjalan lancar," katanya yang menjangkakan
lebih 5,000 penyokong kedua-dua pasukan akan hadir menyaksikan perlawanan
tersebut.
"Penyokong Pahang digalakkan memakai baju atau
jersi kuning," katanya
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0512&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz5eCN4doaB
© Utusan Melayu (M) Bhd