Patrick, Forkey Doe jadi taruhan
skuad Tok Gajah robek gawang Kedah
Shahrulanoor Ishak
16 Mac 2018 3:00 AM
FORKEY DOE (kiri) jadi taruhan
Pahang untuk merobek gawang Kedah pada aksi Piala FA di Kuantan esok.
GANDINGAN mantap Patrick Cruz
(gambar kecil) dan Francis Forkey Doe dalam skuad Pahang dilihat bakal memberi
ancaman getir buat Kedah menjelang pusingan ketiga saingan Piala FA 2018 di
Stadium Darul Makmur, Kuantan esok.
Ketika aksi Liga Super di
Kuantan, Sabtu lalu, Patrick bersama Forkey Doe mempamerkan peningkatan apabila
masing-masing menjaringkan dua gol bagi mencetak kemenangan 4-0 ke atas Negeri
Sembilan.
Semasa aksi Liga Super pada 24
Februari lalu pula, Patrick turut mencetak satu gol buat skuad Tok Gajah,
manakala Forkey Doe menyudahkan dua jaringan termasuk satu sepakan penalti
ketika menumpaskan Selangor 3-1 di Stadium Kuala Lumpur, Cheras.
Sehubungan itu, Dollah Salleh
selaku ketua jurulatih Pahang memuji keberkesanan dipamerkan kedua-dua
penyerang tersebut yang semakin mempamerkan peningkatan positif.
Menurut bekas pengendali skuad
kebangsaan itu, Forkey Doe kerap melakukan hantaran penting untuk memudahkan
tugas jentera tengah, sekali gus membuka peluang kepada Pahang untuk memulakan
rentak serangan pantas diketuai Patrick.
Keserasian kedua-dua penyerang
tersebut sekali gus memberi impak positif kepada skuad Tok Gajah untuk
menghadapi Kedah esok.
Sebagai rekod, Pahang tewas
kepada Kedah 2-3 pada aksi final Piala FA 2017 di Stadium Shah Alam, Mei tahun
lalu.
Pahang bagaimanapun bangkit
menewaskan Kedah 2-1 pada pusingan kedua Liga Super 2017, Ogos tahun lalu
selepas terdahulu dibelasah 4-1 ketika bertandang ke Alor Setar dalam aksi
pusingan pertama liga musim lalu.
Bagi pertemuan kali ini, Pahang
dilihat memiliki kelebihan untuk menghadapi skuad Helang Merah menerusi
gandingan Patrick bersama Forkey Doe.
Patrick berkata, dia bersama
Forkey Doe sudah menemui persefahaman ketika sesi latihan dan optimis untuk
menterjemahkan kemenangan buat pasukan.
“Kami mula menjalani latihan
bersama sejak awal Februari lalu dan kini, segalanya (perancangan semasa
latihan) menjadi semakin mudah untuk kami lakukan pada perlawanan sebenar.
“Saya dan Forkey Doe juga boleh
beri jauh lebih bagus untuk pasukan ini apabila menghadapi perlawanan akan
datang (menentang Kedah),” ujar penyerang dari Brazil berusia 24 tahun itu.
SUMBER-KOSMO ONLINE 16 Mac 2018
3:00 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan