ARKIB : 02/01/2009
KUANTAN - Pahang akan membuka
tirai Liga Super dengan melayan pasukan Johor FC di Stadium Darul Makmur, esok
dengan mengambil sikap menghormati pasukan lawan, lapor YULPISMAN ASLI.
Meskipun telah membuat persiapan
rapi bagi menghadapi musim baru ini, skuad Tok Gajah tidak meletakkan harapan
tinggi untuk menang dalam perlawanan pembukaan itu nanti.
Timbalan Presiden Persatuan
Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Datuk Muhammad Safian Ismail berkata, walaupun
tetap mengharapkan tiga mata penuh, harapan yang tinggi untuk menang tidak
disandarkan kepada pemain yang rata-ratanya masih muda dan kurang berpengalaman.
''Kita (Pahang) merupakan
pasukan underdog. Jika menang, ia merupakan satu bonus," katanya kepada
Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini, semalam.
Menurut Muhammad Safian, semua
pemain Pahang menunjukkan semangat yang tinggi untuk menghadapi saingan pada
musim kali ini menerusi beberapa perlawanan persahabatan yang diadakan sebelum
ini.
''Walaupun Pahang dibarisi
pemain muda, kita akan cuba mencipta kejutan dalam semua pertemuan,"
jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berharap
penyokong turun beramai-ramai untuk memberikan sokongan padu ketika Pahang
menentang Johor FC, Sabtu ini.
Menerusi barisan pemain muda,
Muhammad Safian menambah, pihaknya berazam untuk mengembalikan kegemilangan
skuad Tok Gajah dalam tempoh tiga tahun dari sekarang.
Justeru katanya, pembentukan
satu pasukan yang mantap dengan dianggotai sepenuhnya pemain tempatan harus
dimulakan dari sekarang.
Mengulas peraturan yang tidak
lagi membenarkan pemain import beraksi dalam liga tempatan pada musim ini,
katanya, perkara itu perlu dilihat dari sudut positif.
Menurut Safian, PBNP banyak
belajar daripada pengalaman lalu apabila terpaksa berbelanja besar membawa
masuk pemain import.
''Bagaimanapun, hasil yang kita
peroleh tidak seberapa. Maka, lebih baik kita gunakan wang yang ada untuk
membentuk pasukan yang menggunakan khidmat pemain tempatan sepenuhnya,"
jelasnya
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_10.htm#ixzz51GxB7mUm
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan