Sabtu, 16 Disember 2017 |
5:00pm
Oleh Devinder Singh
devinder@nst.com.my
KUALA LUMPUR: Selepas Pahang
mencetuskan kekecohan susulan keengganan mereka menyertai Piala AFC 2018,
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) nampaknya masih menunggu untuk mengenakan
hukuman ke atas pasukan Liga Super itu.
Ini berikutan sudah masuk lebih
dua minggu selepas Pahang menolak tawaran memenuhi slot kedua ke saingan
terbabit, namun sekretariat FAM dilihat masih belum mengambil apa-apa tindakan.
Presiden FAM, Tunku Ismail
Sultan Ibrahim sebelum ini memberi amaran bahawa skuad Tok Gajah itu akan berdepan
hukuman seandainya mereka enggan beraksi dalam saingan tahap kedua benua Asia
berkenaan.
Namun, Pahang dilihat mampu
terlepas daripada sebarang hukuman selepas tiada langsung tindakan yang diambil
atas kedegilan mereka sebelum ini.
Sumber menyatakan FAM bercadang
untuk mengenakan hukuman berdasarkan peruntukan Artikel 67 dan Artikel 69
membabitkan 'kegagalan mematuhi' arahan dan keputusan yang ditetapkan.
Artikel terbabit pernah
digunakan untuk mengambil tindakan ke atas pemain yang enggan beraksi buat
skuad kebangsaan, terhadap pegawai, kelab ataupun ahli gabungan yang terbabit
dalam acara yang tidak mendapat kelulusan badan induk itu serta mereka yang
tidak mematuhi keputusan disiplin yang ditetapkan oleh FAM.
"FAM boleh mengambil
tindakan ke atas Pahang, namun isunya di sini adalah bentuk hukuman yang akan
dikenakan," kata sumber ketika dihubungi hari ini.
"Jika dahulu, denda dan
penggantungan tidak melebihi setahun akan dikenakan kepada pemain atau pegawai
mengikut kod disiplin yang ditetapkan.
"Namun, agak rumit jika
kita hendak menghukum ahli gabungan. Bagaimana anda hendak menghukum persatuan
negeri?"
Dalam masa sama, Setiausaha
Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin enggan mengulas mengenai isu terbabit
SUMBER BERITA HARIAN ONLINE 16 Disember
2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan