HAIRUDDIN (kiri) sekali lagi
menjadi taruhan Pahang untuk merobek gawang Negeri Sembilan malam ini.
SEKALIPUN jentera Negeri
Sembilan (NS Naza) dilihat semakin ampuh dalam mengharungi kempen Liga Super
musim ini, Pahang tidak akan mudah menyerah awal ketika kedua-dua pasukan
bertembung di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam ini.
Menurut jurulatih Pahang,
Zainal Abidin Hassan, kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri akan
digunakan sebaik mungkin dalam misi mereka meraih kemenangan.
Jelas Zainal, walaupun NS Naza
turun selaku pasukan pilihan, anak buahnya tidak perlu gentar ketika berdepan
lawan, sekali gus memberi ‘pengajaran’ berguna buat pasukan pelawat itu.
“Bukan sesuatu yang mustahil
untuk Pahang membenamkan Negeri Sembilan mahupun mana-mana pasukan lawan yang
lain.
“Tetapi untuk mencapai tujuan
tersebut, pemain perlu mempamerkan rentak terbaik bagi memburu kemenangan,”
katanya ketika dihubungi KOSMO! semalam.
Dalam pada itu, Zainal turut
meminta anak buahnya supaya memberi komitmen selain tumpuan sepenuhnya bagi
mengharungi aksi malam ini.
“Matlamat kita hanya satu,
membolot tiga mata penuh dan membawa pasukan pada kedudukan yang terbaik,”
tambah Zainal.
Pada aksi malam ini, Zainal
terus menyandarkan harapan kepada penyerang, Hairuddin Omar dan pemain import
dari Maghribi, Redouane Barkaoui bagi merobek gawang lawan.
“Kita harap mereka dapat
menemui sentuhan gol, sekali gus membantu pasukan mencipta kemenangan di tempat
sendiri,” kata Zainal.
Selepas mengharungi sembilan
perlawanan, Pahang kini menduduki tangga kesepuluh dengan meraih sepuluh mata
SUMBERArtikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0126&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4wLVZkmLI
Hakcipta terpelihara