ARKIB : 14/02/2009
Oleh YUSRI SAHAT
sukan@utusan.com.my
KUANTAN - 'Mesti menang!'.
Ungkapan itu merupakan kata dua daripada jurulatih Pahang, Tajuddin Nor
(gambar) dalam menghadapi saingan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) malam
ini.
Sebabnya mudah... jika ia tidak
berlaku, Pahang bakal menjadi penghuni kedudukan tercorot Liga Super.
Misi 'mesti menang' itu
diterapkan dalam jiwa setiap pemain supaya mereka memberi fokus dan
bersungguh-sungguh mencapai kemenangan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi
malam ini.
Meskipun menentang pasukan
tercorot, Pahang tidak seharusnya memandang ringan perlawanan tersebut kerana
PDRM juga berazam tidak mahu dilabelkan pasukan paling lemah.
Berdasarkan perlawanan sebelum
ini, Tajuddin telah mengenal pasti beberapa kelemahan terutama di jentera
serangan yang menjadi punca kegagalan anak buahnya merobek gawang lawan.
Sehubungan itu, beliau memberi
tumpuan kepada penajaman jentera serangan dalam usaha menerobos kubu pertahanan
lawan.
''Berdasarkan pemerhatian saya,
pemain Pahang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk beraksi dengan baik pada
permulaan saingan Liga Super musim ini.
''Bagaimanapun, saya dapati
masih terdapat kelemahan terutama di bahagian serangan yang menghalang kami
untuk mencatat kemenangan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika
dihubungi semalam.
Pada sesi latihan selepas
pertemuan dengan Kuala Muda (KM) Naza baru-baru ini, beliau telah mengadakan
ujian rapi bagi memantapkan bahagian serangan tanpa meminggirkan kepentingan
jentera pertahanan untuk mengekang asakan lawan.
"Saya sudah memastikan
mereka menerima latihan secukupnya sebelum perlawanan bertemu PDRM untuk
merebut tiga mata penting.
''Ini kerana ketika Pahang
tewas 1-2 kepada KM Naza dahulu, kita banyak memperoleh peluang tetapi gagal
disempurnakan dengan sebaik-baiknya," katanya.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0214&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz51oUAGxzc
© Utusan Melayu (M) Bhd