Jumaat, 1 Februari 2019 | 11:11pm
Pemain Pahang, Dickson Nwakaeme (kanan) mengawal bola sambil cuba diasak
pemain Kuala Lumpur dalam aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. -
NSTP/Asyraf Hamzah
Nwakaeme cetus kemenangan Pahang
Oleh Syafiq Aznan
syafiq.aznan@bh.com.my
CHERAS: Dickson Nwakaeme mengumumkan kepulangannya ke Liga Malaysia (Liga
M) dengan penuh bergaya apabila meledak dua gol untuk membantu Pahang menang
3-1 ke atas Kuala Lumpur di Stadium Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA),
Cheras, hari ini.
‘Perjudian’ skuad Tok Gajah mengikat penyerang terbabit mungkin dilihat
langkah yang tepat selepas ‘Orang Besi’ itu membuktikan dia masih berbisa
meskipun tidak beraksi secara kompetitif hampir setahun akibat kecederaan.
Bukan setakat menjaringkan gol namun kelibat bekas penyerang Angers SCO itu
di atas padang sudah cukup ‘memeningkan’ pertahanan Kuala Lumpur yang terpaksa
berhempas pulas untuk mengekang pergerakan pemain bertubuh sasa itu.
Pahang menguasai sebahagian besar permainan namun Kuala Lumpur terlebih
dahulu beroleh peluang terbaik pada minit kelapan menerusi gerakan solo Zhafri
Yahya yang melepasi kawalan lima pemain namun gerakannya sempat dihalang Helmi
Eliza Elias di hadapan gawang Pahang.
Bagaimanapun, Pahang boleh dianggap bernasib baik apabila percubaan
Mohamadou Sumareh yang terbias pemain lawan hinggap di kaki Saddil Ramdani dan
bintang Indonesia itu tidak mensia-siakan peluang menyumbat gol pembukaan yang
juga gol pertamanya bersama Pahang pada minit ke-24.
Percaturan Yusri yang memasukkan Afiq Ahmad Razali pada babak kedua terus
memberi impak segera selepas pemain gantian itu meledak gol penyamaan menerusi
sepakan voli hanya tiga minit selepas separuh masa kedua bersambung.
Namun kegembiraan skuad The Hawks hanya bertahan tiga minit apabila
Nwakaeme yang dinafikan beberapa kali pada babak pertama meledak gol kedua buat
Pahang sekali gus membolehkan mereka kembali mendahului perlawanan.
Dickson menambah derita Kuala Lumpur di penghujung permainan apabila
meledak gol kedua peribadinya selepas menggelecek beberapa pertahanan dan
Sharbinee sebelum menyudahkannya ke gawang kosong untuk gol ketiga Pahang
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Jumaat, 1 Februari 2019 | 11:11pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan