Oleh M.RIZAL NOR-sukan@utusan.com.my
Penyokong Tok Gajah memasang
kain rentang gergasi Elephant Army di Stadium Darul Makmur menjelang perlawanan
Piala Sumbangsih menentang LionsXII. - UTUSAN/MAHATHIR ALI
TEMERLOH - Penjaga gol muda
Pahang, Mohd. Khairul Azhan Mohd. Khalid berjanji akan membuatkan LionsXII
berputih mata pada perlawanan Sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah di
Stadium Darul Makmur malam ini, yang turut menjadi pembuka tirai Liga Malaysia
(Liga-M) 2014.
Selepas menjadi watak penting
ketika membantu Tok Gajah merangkul PIala Malaysia tahun lalu, Khairul Azhan
yakin, dia mampu mengulangi prestasi baik untuk memastikan Pahang memulakan
musim baharu dengan langkah kanan.
Anak jati Pahang itu juga
begitu optimis, andai diberi peluang mengisi kesebelasan utama pasukan, tiada
sebarang jaringan mampu dihasilkan oleh pihak lawan.
Malah, dia dia juga sudah
mempersiapkan diri menggalas tugas besar andai pemenang terpaksa ditentukan
melalui penentuan sepakan penalti.
"Aksi pada perlawanan
akhir Piala Malaysia tahun lepas masih segar lagi dalam ingatan apabila saya
dipaksa bekerja keras sepanjang perlawanan tersebut dan menyelamatkan beberapa
percubaan berbahaya lawan.
''Untuk perlawanan esok (hari
ini) saya berharap agar gawang kami tidak dibolosi oleh pemain LionsXII,
"Saya mahu Pahang
menjulang Piala Sumbangsih buat kali pertama dalam karier saya selain mengutip
tiga mata penuh.
"Saya akan sedaya upaya
untuk menambat hati Ketua Jurulatih, Ronald Smith kerana bukan mudah untuk
bersaing dengan Mohd. Nasril Mat Nourdin bagi merebut tempat penjaga gol
utama," katanya di sini semalam.
Baru berusia 24 tahun, Khairul
Azhan mengakui, kelebihan bermain di tempat sendiri akan menjadi azimat kepada
Tok Gajah bagi memenangi perlawanan malam ini.
Namun, mereka perlu berwaspada
dengan serangan anak-anak buah Fandi Ahmad yang cukup terkenal mendapat
sentuhan gol menerusi pergerakan bola mati.
Biarpun ketiadaan beberapa
pemain senior seperti Hariss Harun, Shahril Ishak dan Baihakki Khaizan pada
musim ini, dia tetap memandang tinggi kualiti yang ada pada pasukan LionsXII.
"Kita tidak tahu sejauh
mana keupayaan pemain Lions XII kerana kebanyakannya adalah pemain muda namun
saya yakin Damion bersama rakan-rakan termasuk Zeshan mampu mengemudi benteng
dengan kemas.
''Serangan lawan perlu
dipatahkan lebih awal supaya bola tidak sampai ke dalam kotak penalti,"
ujarnya.
Pengendali Pahang, Smith
dijangka menggandingkan Damion dan Rehman di bahagian pertahanan tengah dan
menukar Razman Roslan kembali beraksi di posisi asalnya ketika bersama Selangor
iaitu sebagai bek kanan.
Sementara itu, Shahrizan Salleh
akan bertindak sebagai bek kiri dan Azamuddin Akil serta R. Gopinathan terus
memacu kekuatan Tok Gajah di bahagian sayap.
Smith berharap para pemain di
posisi tengah juga harus lebih banyak mengusai bola bagi memudahkan jentera
serangan yang diketuai oleh Dickson Nwakaeme dan Matias Conti mencipta peluang
untuk menjaringkan gol.
''Penguasaan bola oleh pemain
tengah cukup penting dan saya yakin rakan-rakan saya sama ada Azidan Sarudin,
Mohd. Faizol Hussein atau Hafiz Kamal mampu melaksanakannya.
"Apa yang penting adalah
semua pemain harus mengetahui peranan masing-masing dan bermain dengan semangat
satu pasukan selain mematuhi arahan jurulatih bagi memastikan kejayaan milik
kami," jelasnya.
sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140117/su_03/Tok-Gajah-mahu-buka-langkah-kanan#ixzz2qlC6r1xR
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan