Oleh LUQMAN HAKIM AB. RAHIM
luqmanhakim.rahim@kosmo.com.my
SEBAHAGIAN daripada peminat
yang tidak berpuas hati tetap menunggu di hadapan kaunter jualan tiket meskipun
ia sudah habis dijual di Stadium Darul Makmur, Kuantan semalam.
SEPERTI perlawanan akhir. Itu
gambaran situasi penjualan tiket perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara
Pahang dan Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Darul Makmur yang laris
macam pisang goreng panas di Kuantan awal pagi semalam.
Dalam tempoh sejam, tiket
perlawanan tersebut habis dijual kepada para peminat yang menunggu seawal pukul
7 pagi.
Namun, situasi itu mencetuskan
rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong bola sepak di negeri itu yang
mempersoalkan ke mana perginya tiket-tiket yang dijual oleh Persatuan Bola
Sepak Negeri Pahang (PBNP).
Beberapa penyokong yang tidak
berpuas juga bertindak di luar kawalan apabila merempuh pintu kaunter jualan
tiket yang berada di hadapan stadium.
Situasi itu menyebabkan empat
orang penjual tiket terpaksa dibawa menaiki kereta peronda polis (MPV) keluar
daripada kaunter penjualan tiket tersebut.
“Saya datang ke sini pukul 8.30
pagi, namun masih tidak dapat beli tiket. Orang yang datang membeli pun bukan
ramai sangat. Saya hairan mana perginya semua tiket yang ada.
“Saya harap pihak berwajib
pantau perkara ini. Kami yang beratur dari awal pagi ini adalah penyokong tegar
Pahang, patutnya bagilah tiket yang secukupnya untuk kami,” kata seorang
peminat, Azmi Bakar, 32, ketika ditemui pemberita semalam.
Menurutnya, sudah sampai
masanya PBNP perlu menjalankan jualan tiket secara dalam talian ataupun pas
bermusim kerana memudahkan penyokong.
Bagi penyokong wanita pula,
Farhana Mohd. Ali, 21, walaupun PBNP telah mewujudkan kaunter tiket wanita,
tetapi masih ada lelaki yang turut beratur.
“Saya hairan sepatutnya perkara
ini dipantau oleh pihak berwajib, kaunter ini untuk wanita tetapi lelaki pun
masih boleh beli,” katanya.
Bagi seorang lagi penyokong
tegar skuad Tok Gajah, Salina Awang, beliau begitu hampa dengan cara penjualan
tiket di Stadium tersebut.
“Saya sudah menghabiskan masa
berjam-jam ditambah terpaksa beratur panjang yang berkesudahan dengan tiket
yang habis,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung
PBNP, Fuzzeimi Ibrahim ketika dihubungi mengakui terdapat sedikit kekecohan,
namun berjaya dikawal oleh anggota keselamatan ketika penjualan tiket untuk
perlawanan berlangsung.
“Hampir 12,000 tiket untuk
perlawanan itu telah berjaya dijual di Stadium Darul Makmur dan 5,000 di
Stadium Mini Temerloh.
Bagi peminat yang tidak dapat
menyaksikan perlawanan esok di stadium, beliau memberitahu, PBNP akan memasang
satu skrin besar di padang Majlis Perbandaran Kuantan 1 untuk sama-sama merasai
suasana perlawanan itu.
RUJUKAN-KOSMO ONLINE 30.5.14
Tiada ulasan:
Catat Ulasan