Oleh HERMAN HAMID
sukan@utusan.com.my
KUANTAN - Zainal Abidin Hassan
yang mengambil alih tugas pengendali skuad Tok Gajah daripada Ronald Smith akan
memikul tanggungjawab tersebut sehingga kedudukan berhubung ketua jurulatih
diputuskan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul
Rahman Sultan Ahmad Shah.
Setiausaha Agung PBNP, Fuzzemi
Ibrahim berkata, sebagai seorang yang berpengalaman luas dalam bola sepak,
Zainal Abidin mempunyai kriteria yang cukup bagi meneruskan kesinambungan yang
ditinggalkan Smith.
"Pada masa ini, apa yang
saya boleh maklumkan tugas Smith diambil alih oleh Zainal Abidin. Selanjutnya,
kita tunggu pengumuman Presiden PBNP, katanya ketika dihubungi di sini hari
ini.
Ditanya mengenai kontrak Smith
bersama PBNP, Fuzzemi berkata, kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan
secara profesional mengenai perkara itu yang menyaksikan kelmarin sebagai hari
terakhir Smith bersama pasukan.
"PBNP merakamkan
penghargaan di atas sumbangan beliau sepanjang bersama skuad Tok Gajah. Smith
seorang yang profesional dalam tugasnya dan kami mengucapkan selamat maju jaya,
jelasnya.
Smith dalam khidmat pesanan
ringkas (SMS) kepada wartawan memaklumkan penamatan kontraknya adalah atas
persetujuan bersama setelah mempunyai perbezaan pendapat dengan pihak
pengurusan berhubung pasukan.
"Perlu ada seorang
individu sebagai pengendali. Maka jalan terbaik, saya tinggalkan pasukan.
"Tiada rasa kesal tetapi
sedikit terkilan kerana saya meninggalkan pasukan dengan rekod yang agak baik
dan saya juga seronok sepanjang bersama Pahang.
"Tetapi kerana kami tidak
boleh bersetuju dalam beberapa hal berkaitan bola sepak, lebih baik saya
berundur, ujarnya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140307/su_03/Zainal-ganti-Smith-bimbing-Tok-Gajah#ixzz2vK54gXb2
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan