Kuantan: Wira Pahang, Mohd Hafiz Kamal (gambar) berasa puas kerana
jaringannya pada masa tambahan membolehkan skuad Tok Gajah memungut tiga mata
berharga selepas membenam Johor Darul Ta'zim (JDT) 3-2 kelmarin.
Hafiz yang dikenali menerusi sepakan percuma menyifatkan kemenangan
bermakna di Stadium Darul Makmur itu hasil daripada kerjasama semua pemain yang
dahagakan kemenangan.
"Saya amat gembira dan puas apabila jaringan ini membantu pasukan
meraih tiga mata berharga. Kemenangan ini diharap memberi lebih kekuatan buat
Pahang mengharungi saingan Liga Super musim ini.
Cabar pasukan teratas
"Namun, komitmen tinggi rakan sepasukan memberi keputusan terbaik buat
Pahang untuk bersaing dengan pasukan teratas," katanya di sini, semalam.
Pada perlawanan kelmarin, Matias Conti dan Mohd Fauzi Rozlan, masing-masing
menjaringkan satu gol buat skuad Tok Gajah tetapi jaringan Hafiz pada masa
tambahan membolehkan skuad itu menewaskan JDT.
Dua gol JDT pula, masing-masing satu disumbangkan oleh Pablo Aimar dan
Safee Sali. Sementara itu, pengendali Pahang, Ronald Smith memuji prestasi
pemainnya yang berjaya mengawal permainan walaupun hampir terlepas tiga mata
berharga.
Katanya, kesungguhan pemainnya untuk meraih tiga mata berbaloi walaupun
lawan berjaya menyamakan kedudukan ketika mereka ketinggalan.
"Bagi saya aksi perlawanan malam ini (kelmarin) amat berkualiti dan
kami bernasib baik kerana layak meraih tiga mata berharga.
"Begitu juga penyokong Pahang yang membantu memberi suntikan semangat
kepada pemain. Apapun kemenangan ini begitu menggembirakan," katanya. -
Oleh Asrol Awang
BERITA HARIAN ONLINE 9.2.14
Tiada ulasan:
Catat Ulasan