MOHAMADOU SUMAREH masih diberi kepercayaan oleh Pahang untuk memperkuatkan
barisan serangan mereka musim ini.
Mohamad Shofi Mat Isa
26 Januari 2018 3:00 AM
KUANTAN 25 Jan. - Skuad Tok Gajah bakal mengumumkan nama dua lagi pemain
import baharu mereka dalam masa terdekat dengan masing-masing akan mengisi
posisi penyerang dan pertahanan.
Pahang telah menyambung kontrak dengan sayap kanan Mohamadou Sumareh dari
Gambia selain mendapatkan khidmat Chan Vathanaka dan Safuwan Baharudin dari
Singapura.
Walaupun telah memiliki Sumareh dan Vathanaka yang merupakan penyerang
skuad kebangsaan Kemboja, jurulatih Pahang, Dollah Salleh mengakui dia masih
memburu seorang lagi penyerang dan seorang pemain pertahanan tetapi merahsiakan
nama mereka.
“Urusan membawa masuk dua pemain tersebut akan diselesaikan
selewat-lewatnya dalam tempoh dua minggu sebelum perlawanan pertama Pahang
menentang Perak dalam Liga Super di Stadium Darul Makmur pada 4 Februari ini,”
katanya, di sini hari ini.
Persediaan Pahang menjelang sebelum sepak mula Liga Super musim ini
menampilkan nota positif jika dilihat kepada perlawanan persahabatan di Bangkok
pada awal Januari lalu.
Dalam siri lawatan pramusim di Bangkok selama seminggu hingga 10 Januari
lalu, Pahang mencatat kemenangan 4-1 ke atas Muangthong United yang kemudiannya
menumpaskan Johor Darul Ta’zim 5-2 dalam kelayakan kedua Liga Juara-juara.
Pahang turut mencipta kemenangan 3-1 ke atas Thai Air Force Central sebelum
kalah 1-0 kepada Gyeongnam FC pada hari terakhir mereka di Bangkok.
Mengulas pencapaian direkodkan skuad Tok Gajah sepanjang tempoh persiapan
sejak November lalu, Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) menerusi satu
kenyataan baru-baru ini turut berpuas hati terhadap peningkatan dipamerkan.
“Pemain telah menunjukkan komitmen dan fokus penuh untuk mendapatkan
persefahaman serta keyakinan bagi mengharungi musim 2018 yang akan bermula pada
Februari nanti,” kata PBNP dalam kenyataan itu.
sumberArtikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/pahang-masih-rahsiakan-baki-pemain-import-baharu-1.597235#ixzz55FZ1XY1a
© Utusan Melayu (M) B