Oleh SHAHRULANOOR ISHAK
Wan Zaharulnizam akan pastikan
Kedah pulang hampa dari Kuantan malam ini.
MESKIPUN mencatat dua kekalahan
kepada Kedah musim ini, ia tidak meletakkan Pahang dalam keadaan tertekan untuk
menghadapi skuad Helang Merah itu buat kali ketiga pada aksi Liga Super di
Stadium Darul Makmur, Kuantan malam ini.
Sebagai rekod, perlawanan malam
ini merupakan pertemuan ketiga bagi kedua-dua pasukan itu selepas terdahulu
menyaksikan Pahang tewas dua kali kepada Kedah pada aksi pusingan pertama Liga
Super di Alor Setar dan final Piala FA di Stadium Shah Alam baru-baru ini.
Pada 11 Februari lalu, Pahang
tewas 1-4 kepada Kedah sebelum dihampakan 2-3 ketika aksi final Piala FA di
Stadium Shah Alam pada 20 Mei lalu.
Pemain tengah pasukan Pahang,
Wan Zaharulnizam Wan Zakaria berkata, mereka harus fokus 100 peratus menghadapi
perlawanan penting itu bagi memastikan skuad Tok Gajah meraih kemenangan.
“Semua orang tahu, Kedah
memiliki strategi serta corak permainan yang hebat. Jika mahu menewaskan Kedah,
kami harus fokus dan mengekalkan disiplin yang tinggi sepanjang perlawanan itu
nanti.
“Walaupun ketua jurulatih,
Dollah Salleh tidak ada bersama kami kerana masih menjalani hukuman
penggantungan, namun rakan-rakan sepasukan tidak tertekan biarpun Pahang pernah
tewas sebanyak dua kali kepada Kedah sebelum ini. Apabila semua pemain fokus
terhadap permainan, segalanya akan berjalan dengan lancar.
“Saya juga menanam keazaman
untuk muncul sebagai penjaring pada perlawanan malam esok (ini), sekali gus
membantu Pahang meraih tiga mata penuh di hadapan penyokong kami sendiri,” ujar
Wan Zaharulnizam ketika dihubungi semalam.
Sementara itu, pemangku ketua
jurulatih Pahang, Ahmad Shaharuddin Ahmad Rosdi pula optimis skuad Tok Gajah
mampu mempamerkan aksi yang lebih berkesan menjelang perlawanan malam ini dalam
misi merampas kedudukan tempat kedua daripada Kedah.
“Berdasarkan prestasi yang
dipamerkan ketika membelasah PKNP FC pada kempen Piala Malaysia Selasa lalu,
saya percaya para pemain sudah bersedia sepenuhnya untuk menyekat Kedah.
“Para pemain kini semakin
bersemangat selepas bergelut dengan prestasi yang tidak menentu sebelum ini.
“Apa yang penting adalah untuk
menjaga disiplin dan sentiasa fokus sepanjang perlawanan. Jika dua faktor ini
dapat dipertahankan, saya yakin Pahang boleh menang,” kata Ahmad Shaharuddin.
Selepas mengharungi 18
perlawanan, Pahang kini berada di kedudukan ketiga Liga Super dengan 30 mata,
ketinggalan empat mata di belakang Kedah.
Skuad Johor Darul Ta’zim (JDT)
terus selesa memimpin liga dengan mengumpul 45 mata.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0805&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4otk82AUP
Hakcipta terpelihara