Asrol Awang
sukan@hmetro.com.my
Kuantan: Jurulatih Pahang,
Razip Ismail enggan menekan butang panik walaupun skuadnya sekadar mencatat
keputusan seri 2-2 pada pertemuan persahabatan menentang Angkatan Tentera
Malaysia (ATM) di Stadium Temerloh, kelmarin.
Bekas pemain kebangsaan itu
berkata, keputusan berkenaan tetap menggembirakannya memandangkan ia adalah
aksi pertama selepas skuad Tok Gajah hanya kembali menjalani latihan sejak aksi
terakhir Liga Super bertemu Pulau Pinang pada 24 September lalu.
Katanya, segala-galanya dilihat
positif terutama membabitkan gabungan pemain utama dan simpanan termasuk pemain
daripada skuad Piala Presiden dalam usaha membentuk pasukan lebih mantap.
“Pada masa sama, beberapa
pemain tidak dapat diturunkan disebabkan masalah kecederaan dan demam tetapi
pemain lain mampu melaksanakan tugas yang diberikan.
“Sebenarnya, peluang banyak
dilepaskan pemain walaupun pintu gol terbuka luas dan mereka gagal melakukan
penyudah tepat hingga terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri.
“Tapi, saya percaya keputusan
ini dapat memudahkan saya menilai keupayaan pemain bagi menghadapi T-Team pada
perlawanan penutup tirai Liga Super pada 22 Oktober ini,” katanya ketika
dihubungi, di sini, semalam.
Justeru, Razip berkata, satu
lagi aksi persahabatan akan diadakan sebagai persediaan terakhir bertemu kelab
dari Terengganu itu untuk memastikan Pahang mampu meraih kemenangan.
Menurutnya, kemenangan amat
penting bagi mengesahkan sama ada skuad Tok Gajah kekal dalam saingan Liga
Super musim 2017 atau tidak.
“Apa yang perlu dilakukan
pemain adalah mempamerkan aksi terbaik dan komited untuk mengekalkan Pahang
dalam saingan liga,” katanya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan
pada : Rabu, 12 Oktober 2016 @ 9:49 AM