ARKIB : 05/04/1998
PAHANG membuktikan keunggulan
apabila membuat permulaan baik dalam perlawanan pertama bola sepak Liga Perdana
Satu apabila menewaskan Sabah 3-0 di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam tadi,
lapor HARON SHAFIE.
Gandingan Azizul Kamaluddin,
Azaruddin Aziz dan bintang import Jozsef Duro jelas menunjukkan kegagahan
Pahang dalam kempen baru ini.
Semua gol Pahang dijaringkan
oleh ketiga-tiga pemain itu dalam perlawanan yang menyerlahkan kekalutan
pasukan Sabah.
Masih segar dengan kemenangan
ke atas Selangor pada perlawanan amal minggu lalu, Pahang membuka jaringan
menerusi Duro pada minit ke-39 sebelum menambah dua gol pada babak kedua
menerusi Azizul pada minit ke-76 dan Azaruddin Aziz minit ke-87.
Babak pertama menyaksikan
penguasaan pasukan pelawat dengan gerakan-gerakan tersusun manakala Sabah lebih
banyak bertahan.
Pahang kerap mengancam kubu
Sabah tetapi setiap percubaan tersasar jauh dari gawang selain kekentalan
benteng pertahanan Sabah.
Pahang hanya mendapat satu
peluang terbaik untuk membuka jaringan pada minit ke-26 apabila tendangan
Azaruddin Aziz terkena tiang gol.
Corak permainan pasukan tuan
rumah itu akhirnya membawa padah apabila Duro menghukum kelalaian benteng
pertahanan apabila merembat masuk pada minit ke-39.
Gol berpunca daripada hantaran
cantik Azizul Kamaluddin dari sebelah kanan gol yang tepat menuju ke kaki Duro
yang tidak membuang masa merembat kencang menewaskan bekas penjaga gol
kebangsaan, Khairul Azman Mohamad.
Tidak banyak ancaman dicipta
Sabah di kubu Pahang kecuali percubaan pemain import Tibidi Alexis yang
tersasar sipi dari tiang gol.
Di hadapan 16,000 penyokong
sendiri, Sabah gagal mempamer aksi seperti yang dijanjikan sebaliknya bertambah
kucar-kacir pada babak kedua.
Kesempatan itu terus digunakan
sebaiknya oleh Pahang dengan menyumbat dua lagi gol.
Jika gol pertama hasil gerakan
Azizul, gol kedua dijaringkan oleh pemain itu sendiri apabila menerima hantaran
cantik daripada Azaruddin.
Dan gandingan Azaruddin-Azizul
sekali lagi menghukum benteng Sabah apabila giliran Azaruddin pula menggegarkan
jaring lawan hasil umpanan Azizul.
SABAH: Khairul Azman Mohamed,
Andrew Majamjim, Burhan Ajui, Veselin Kovacevic, Madzelan Emoi, David Rocastle,
Henry Saimpon, Jekerison Kilan, Yap Wai Loon, Tibidi Alexis.
PAHANG: Mudzar Mohamad,
Jalaludin Jaafar, Suhaimi Mohd. Nor, Khairulniza Mustafa, Mohd. Ali Mohd.
Sahar, Emanuel Kofi Ampiah, Azizul Kamaluddin, Sharulnizam Sahat, Zulhamizan
Zakaria, Mohd. Azaruddin Aziz, Jozsef Duro.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0405&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4Frl2pypm
© Utusan Melayu (M) Bhd