ROSILAWATI ROSEDI
22 Julai 2014
Zainal Abidin Zainal Abidin
PEMAIN Pahang diminta
mengekalkan momentum positif sebelum kempen Piala Malaysia 2014 membuka
tirainya, 13 Ogos depan.
Pengendalinya, Zainal Abidin
Hassan memberitahu, setakat ini semua pemain berjaya mempamerkan aksi positif
sepanjang latihan sepanjang Ramadan ini.
Malah skuad itu membuktikan
semangat mereka apabila membenam T-Team, 3-1 dalam aksi sulung perlawanan
persahabatan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sabtu lalu.
Ketika dihubungi Sinar Harian
semalam, Zainal Abidin berkata, kemenangan itu menyuntik moral pemain sebelum
meneruskan tiga lagi siri perlawanan ujian sepanjang minggu ini.
“Bagi saya kemenangan ini
begitu bermakna selepas kami berehat panjang dan hanya menjalani latihan
sepanjang Ramadan ini.
"Walaupun masih ada
kelemahan, ia tidak begitu ketara kerana fokus pemain tidak luntur terutama
untuk mengekalkan gelaran juara Piala Malaysia musim ini,” katanya semalam.
Menurutnya, saingan Kumpulan A
yang turut disertai JDT II, Felda United dan Lions XII seimbang dan semua
pasukan memiliki kelebihan masing-masing.
“Yang pastinya semua mempunyai
misi untuk mengalahkan Pahang selaku juara bertahan dan ini memang memberikan
tekanan buat Tok Gajah pada musim ini,” katanya.
Justeru bekas pemain kebangsaan
itu mengharapkan latihan dan perlawanan persahabatan yang dirancang digunakan
sebaik mungkin oleh pemain dalam misi penting Pahang mempertahankan piala
berprestij itu untuk musim ini.
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 23.7.14