Khamis, 3 Julai 2014

Jalaluddin intai tempat

Oleh Asrol Awang


Kuantan: Pemain paling senior Pahang, Jalaluddin Jaafar percaya kelibatnya akan dapat disaksikan dalam saingan Piala Malaysia berbanding hanya diletakkan sebagai pemain simpanan pada aksi Liga Super dan Piala FA musim ini.

Justeru, pemain kelahiran Pekan, Pahang itu akan berusaha menambat hati pengendali Tok Gajah Zainal Abidin Hassan bagi memastikan namanya tersenarai dalam kesebelasan utama.

Bagi merealisasikan impian itu, Jalaluddin berkata, dia tidak akan mengecewakan Zainal Abidin terutama dalam membantu memperkasakan jentera pertahanan.

“Memang diakui musim ini saya lebih banyak diturunkan sebagai gantian, tapi saya tetap berharap dapat berada dalam kesebelasan utama pada saingan Piala Malaysia,” katanya.

Ditanya peluang Pahang mempertahankan piala berprestij itu musim ini, Jalaluddin berkata, dengan menerapkan disiplin tinggi dan fokus terhadap setiap perlawanan, gelaran juara boleh menjadi milik skuad Tok gajah.

“Pada masa sama, sokongan padu peminat yang selama ini tidak putus-putus memberikan suntikan moral akan membantu memotivasikan kami.

“Jika segala-galanya mengikut percaturan, kami mampu mengulanginya sekali lagi musim ini,” katanya.

Musim ini, Pahang sudah merangkul dua gelaran, juara Piala FA dan Piala Sumbangsih manakala skuad kendalian Zainal Abidin menduduki tempat ketiga saingan Liga Super.
Foto
JALALUDDIN (kiri) idam kesebelasan utama Tok Gajah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan